nuffnang top

Thursday, 4 July 2013

Harimau Muda Mulakan Perjuangan di Universiade

Skuad Harimau Muda di bawah bimbingan coach Ong Kim Swee akan memulakan saingan Universiade 2013 di Kazan, Rusia menentang Italy pada hari ini (jumaat).

Walaubagaimanapun, pasukan ini yang diketuai oleh Irfan Fazail selaku kapten kelihatan agak tempang selepas hanya tinggal 16 pemain berikutan kecederaan yang menimpa wan amirzafran pada saat-saat akhir.

Namun, mereka tetap bersemangat dan berkobar-kobar untuk turun dalam pertandingan kompetetif pertama setelah berkelana di bumi eropah sejak mac tahun ini.

Dengan rekod yang kurang baik setelah mengalami banyak kekalahan dalam perlawanan persahabatan, coach OKS tetap optimis dan berkeyakinan tinggi anak-anak buahnya mampu memberi aksi terbaik seterusnya mengharumkan nama Malaysia di bumi Rusia.

Berdasarkan kepada senarai akhir 16 pemain yang diberi, saya melihat Izham Tarmizi akan diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sebagai penjaga gawang utama sambil dibantu oleh Farhan Abu Bakar.

Di barisan benteng pertahanan pula, sudah pasti pengalaman dan keupayaan Fadhli Shas membaca gerakan serangan pihak lawan ditagih bersama-sama dengan Shahrul Saad, Nazirul Naim dan K Reuben.

Kreativiti jentera tengah yang dikemudi Irfan Fazail, Saiful Ridzuwan atau Kenny Pallraj pula diharapkan mampu membuat hantaran-hantaran tepat kepada penyerang di barisan depan.

Selain itu, kelicikan pemain sayap bertubuh kecil, wan zaharulnizam atau 'kecik' sudah tentu mampu menewaskan benteng musuh untuk menghasilkan gol. Begitu juga dengan Syahrul Azwari serta Saarvindran diharapkan berupaya menewaskan pihak lawan menerusi kepantasan larian mereka biarpun tanpa Wan Zack Haikal yang masih dalam pemulihan kecederaan di FC Ryukyu, Jepun.

Ketumpulan jentera serangan sebelum ini pasti dapat diatasi sekiranya Thamil Arasu, Hazwan Bakri dan Ferris Danial lebih bijak dalam menyempurnakan peluang terhidang. Tanpa ayam tambatan, Rozaimi Abd Rahman mungkin serangan agak kurang berbisa, tetapi Thamil dan Hazwan pasti mahu membuktikan kepada OKS bahawa mereka mampu menggalas tugas sebagai penyerang utama negara dengan sempurna.


Selamat maju jaya diucapkan kepada OKS dan seluruh pasukan Harimau Muda.......!

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...