nuffnang top

Thursday 24 August 2017

Review : Bola Sepak Sukan SEA 2017, Malaysia 3-1 Laos


Anak buah datuk Ong Kim Swee (OKS) mudah menjinakkan pasukan Laos, 3-1 dalam perlawanan terakhir kumpulan Sukan SEA di shah alam malam tadi.

Walaupun membuat 8 pertukaran dengan hanya mengekalkan kapten marvel Adib Zainudin, Irfan Zakaria dan Thanabalan dalam kesebelasan utama, skuad muda Harimau Malaya tetap berjaya mengekalkan rentak kemenangan sekali gus menjadi juara kumpulan dengan tempat ke separuh akhir sudah terjamin lebih awal.

Dalam perlawanan ini OKS memberi peluang kepada Syazwan Zaipol membuat penampilan pertama dalam Sukan SEA dengan merehatkan Adam Nor Azlin di bahagian kiri pertahanan tengah bertiga Malaysia.

Selain itu OKS juga menguji gandingan baru iaitu bekas kapten Frenz United, Daniel Amir dengan tonggak Kedah, Amirulhisham di bahagian tengah sambil dibantu Ariff Farhan dan bintang muda Selangor, Syahmi masing-masing di sayap kiri dan kanan.

Gol pertama Malaysia dijaringkan oleh penyerang Pulau Pinang, Mohd Jafri Chew yang bermula hasil hantaran Thanabalan dari sebelah kanan yang ditanduk Syafiq Ahmad namun terkena palang. Jafri yang tidak dikawal mudah menolak bola masuk bagi menggamatkan stadium Shah Alam yang dihadiri kira-kira 25,000 orang penyokong tuan rumah.

Gol itu seakan memberi tonik semangat kepada Jafri dan Syafiq yang sebelum ini direhatkan OKS dalam 2 perlawanan terakhir bertemu Singapura dan Myanmar gara-gara aksi hambar semasa bertemu Brunei di perlawanan pertama.
Gandingan mereka bersama Thanabalan di bahagian serangan jelas kerap kali mengkucar-kacirkan pertahanan Laos yang diasak bertubi-tubi pada separuh masa pertama.

Penyokong tuan rumah sekali lagi bersorak kegembiraan apabila kapten, Adib membuat percubaan dari luar kotak penalti yang terkena bek Laos dan menerjah ke gawang untuk gol kedua Harimau Malaya.

Sebelum gol tersebut, Laos terlebih dahulu berjaya menyamakan kedudukan melalui sepakan percuma cantik menewaskan penjaga gol, Mohd Ifwat.

Separuh masa kedua menyaksikan anak buah OKS memperlahankan rentak permainan seakan berpuas hati dengan keputusan 2-1. Namun masuk 15 minit terakhir perlawanan, pemain-pemain Malaysia kembali bernafsu untuk menembusi gawang Laos bagi menambah jaringan.

OKS sekali lagi memasukkan pemain berusia 18 tahun, Mohd Akhyar Rashid yang banyak melakukan larian deras ke dalam kubu Laos. Pemain muda Kedah ini dilihat mempunyai potensi yang cukup besar untuk diketengahkan sebagai penyerang negara setanding abang beliau iaitu Rafdi Rashid suatu ketika dahulu.

Tambahan gol yang dicari akhirnya muncul pada minit akhir masa kecederaan hasil gerakan pantas Akhyar dan Syafiq yang melorongkan bola ke tengah kotak penalti untuk disudahkan dengan cemerlang oleh Jafri bagi gol kedua peribadi beliau.

Tamat perlawanan Malaysia 3-1 Laos.

Malaysia akan menanti pasukan Vietnam, Thailand atau Indonesia sebagai lawan di perlawanan separuh akhir sabtu ini di stadium shah alam.

Pemain terbaik perlawanan : Mohd Jafri Chew

# Info dan gambar kredit kepada abam Norafizal & family.





Thursday 12 February 2015

Perlawanan Liga Perdana minggu ke-2

Perlawanan Liga Perdana akan bersambung pada minggu ini yang dijadualkan pada 13/02/2015, Jumaat (hari ini).

Jadual perlawanan adalah seperti berikut:

NS Matrix vs UiTM FC
Kuantan FA vs Kedah
Sabah vs DRB Hicom
KL SPA vs JDT II
T-Team vs Pulau Pinang
Kuala Lumpur vs PKNS FC

Mampukah Kuantan FA memberi saingan kepada Kedah yang garang membelasah KL SPA minggu lepas...

Adakah Pulau Pinang akan mempamerkan persembahan yang lebih baik setelah dipaksa berhempas pulas pada perlawanan pertama...

Admin tidak sabar untuk menyaksikan kelibat bintang Sabah, El-Hadji Diouf merobek gawang DRB Hicom sebenarnya...

Ayuh kita ke stadium...!!!

Sunday 8 February 2015

Harimau Muda Julang Piala Bangabadhu


Pasukan bawah 22 tahun negara menjuarai Piala Bangabadhu setelah berjaya menundukkan Bangladesh dengan jaringan 3-2 malam tadi.

Anak-anak buah Razip Ismail mempamerkan semangat juang tinggi, tidak mudah mengaku kalah dan tidak gentar walaupun bermain di hadapan lebih kurang 25,000 penyokong lawan.

Faizat Ghazali menjadi wira pasukan negara apabila tandukannya pada minit-minit akhir permainan menerjah jaring hasil sepakan sudut Mohd Syazwan.

Sebelum itu skuad muda negara lebih awal mendahului Bangladesh hasil jaringan cantik sepakan percuma kapten, Nazirul Naim. Sepakan lencong kaki kiri beliau menerjah sudut atas kiri gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol.

Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol kedua negara melalui jaringan Kumaahran yang tenang menyempurnakan peluang setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Syazwan. Ia adalah jaringan peribadi kedua penyerang berumur 18 tahun tersebut dalam kejohanan ini.

Harapan peminat negara untuk melihat lebih banyak gol pada babak kedua meleset apabila Bangladesh pula mendominasi permainan dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh masa yang singkat. 

Ternyata taktik jurulatih mereka yang menumpukan kepada set-piece membuahkan hasil setelah memperolehi gol pertama daripada lontaran jauh dari tepi padang. Gol kedua pula diperolehi melalui tandukan kencang dari hantaran sepakan sudut dari sebelah kiri gawang negara.

Tanpa kelibat sayap lincah Syahrul Azwari yang tidak diturunkan akibat kecederaan, barisan serangan negara sedikit tumpul terutamanya menghampiri penghujung permainan. Kemasukan seorang lagi pemain sayap, Ridzuan Abdunlah yang menggantikan Kumaahran juga gagal memberi impak seperti diharapkan.

Namun, barisan muda negara yang dalam fasa persediaan menghadapi Sukan Sea di Singapura jun nanti tidak mudah berputus asa dan akhirnya Faizat berjaya menjaringkan gol kemenangan bagi memusnahkan harapan ribuan penyokong tuan rumah.

Coach Razip Ismail seharusnya bangga dengan persembahan anak-anak buahnya dalam kejohanan ini kerana mereka telah mempamerkan permainan yang berkualiti dan bermutu tinggi. Kejohanan ini amat penting kepada skuad muda negara sebagai medan menimba pengalaman apatah lagi bermain di hadapan ribuan penyokong.

Sudah tentu coach OKS juga gembira kerana sebahagian besar pemain-pemain ini akan dibawa beliau ke Singapura nanti dalam misi meraih pingat emas seperti yang ditetapkan FAM baru-baru ini.

"Tanah Tumpahnya Darahku"

Pulau Pinang, Kedah Mula Langkah Kanan


Pasukan Pulau Mutiara dan Kedah meraih 3 mata penuh dalam perlawanan sulung Liga Perdana 2015 kelmarin. Walaubagaimanapun, kemenangan Pulau Pinang bukanlah mudah kerana mereka hanya memperolehi gol melalui jaringan sendiri pemain Kuantan FA, Lee Kwang Hyeon pada separuh masa kedua.

Biarpun memberi tentangan sengit sehingga ke akhir permainan, barisan penyerang Kuantan FA tetap gagal menembusi gawang Pulau Pinang dan seterusnya pulang dengan tangan kosong dari stadium bandaraya.


Sementara itu, Kedah pula mudah menewaskan KL SPA, 5-1 di stadium darul aman. Kemenangan besar itu diperolehi hasil jaringan Hanif Md. Dzahir, Baddrol Bakhtiar, Keith M Nah (2 gol) dan Chidi Edeh. Namun Kedah tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan besar itu kerana KL SPA bukanlah pasukan utama dalam saingan memburu kejuaraan Liga Perdana.

Sementara itu, juara Liga FAM musim lalu Kuala Lumpur gagal memanfaatkan kelebihan bermain di gelanggang sendiri di stadium merdeka apabila tewas dengan jaringan 2-0 kepada Sabah. Bekas penyerang sensasi Liverpool dan Bolton, El Hadji Diouf menjaringkan salah satu gol melalui sepakan penalti.

Walaubagaimanapun, keadaan padang yang teruk sedikit merencatkan kualiti permainan mereka. Nampaknya isu padang masih lagi menjadi topik hangat Liga Malaysia sejak dari dulu lagi.

Lain-lain pasukan yang turut meraih 3 mata penuh adalah PKNS FC yang menundukkan T-Team, 2-0; NS Matrix membenam DRB-Hicom, 2-0; serta JDT II menewaskan UiTM FC, 2-1.

The Gladiators Tumbang di Paroi


Pasukan bimbingan coach B. Sathianathan, ATM gagal memungut 3 mata penuh apabila tewas 2-0 kepada The Red Warrior, TRW meskipun bermain dengan kelebihan seorang pemain di Paroi.

Pakar sepakan percuma, Mohd. Nor Hazrul menjaringkan gol pertama Kelantan apabila sepakannya mengelirukan penjaga gol ATM, Syed Adney. Barisan serangan ATM yang diketuai oleh Matyo dan Palacios gagal menembusi benteng TRW yang dikawal kemas pemain berpengalaman berumur 36 tahun, Nor Hafiz Zamani Misbah.

Kelantan yang sudah membuat 3 pertukaran seawal bermula separuh masa kedua bermain 10 orang setelah Brendan Gan terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan lutut. Namun ia tidak mematahkan semangat juang pemain TRW sebaliknya terus menambah gol kedua melalui penyerang import, Carillo.

Usaha ATM untuk merapatkan kedudukan dengan memasukkan Hai-O dan Fadzli Shaari tetap buntu mencari gol sehingga tamat perlawanan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...