Harimau Muda mengesahkan slot ke final Pestabola Merdeka setelah menewaskan Myanmar 2-1 hasil jaringan kapten, Irfan Fazail dan Wan Zack Haikal.
Walaupun ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama, anak-anak buah OKS tidak hilang tumpuan atau mengalah sebaliknya lebih bersemangat untuk mencari gol.
OKS membuat dua pertukaran dalam kesebelasan utama dengan memberi peluang kepada Nazmi Faiz menjana bahagian tengah dan Azrif Nasrulhaq di bek kanan menggantikan masing-masing Sivanesan dan K. Reuben.
Strategi yang digunakan OKS nampak berhasil apabila banyak hantaran atau lorongan kepada penyerang dan sayap adalah hasil ilham Nazmi. Malah skuad negara bermain lebih baik dengan menguasai jentera tengah melalui kombinasi Irfan, Junior dan Nazmi.
Prestasi cemerlang dan konsisten Wan Zack diteruskan dalam perlawanan ini apabila berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Myanmar walaupun sesekali beliau dilihat agak kurang bijak dalam membuat sesuatu keputusan. Namun, pengalaman beliau yang berguru di FC Ryukyu berjaya digunakan sebaik mungkin bagi menangani tekanan dan asakan pihak lawan.
Ini terbukti kerana gol pertama negara adalah hasil hantaran lambung beliau dari sepakan percuma manakala gol kedua pula lebih kepada teknik dan keupayaan bintang muda ini melencongkan bola bagi mengelirukan penjaga gol Myanmar.
Untuk perlawanan terakhir kumpulan menentang Thailand, OKS sudah boleh berkira-kira untuk merehatkan pemain utama dengan menurunkan barisan 'simpanan' walaupun sebenarnya kekuatan pemain-pemain Harimau Muda adalah seimbang antara satu sama lain.
Rasanya inilah masa terbaik memberi peluang kepada pemain seperti penjaga gol Firdaus Muhamad, Shahrul Saad, Ariff Farhan, Nasir Basharudin, Nazirul Naim, Saiful Ridzuan, Rozaimi dan Ferris Danial bermain dalam perlawanan yang kompetitif seperti kejohanan pestabola ini.
"Tanah Tumpahnya Darahku"
No comments:
Post a Comment