Kesungguhan dan semangat untuk menang yang ditunjukkan anak buah OKS dalam perlawanan terakhir malam tadi patut dipuji walaupun tiket ke final telah ditempah lebih awal.
Beraksi dengan 5 pemain yang pertama kali diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama, iaitu Shahrul Saad (CB), Nazirul Naim (LM), Nasir Basharudin (CM), Saiful Ridzuwan (CM) dan Rozaimi sebagai striker utama tidak sedikitpun merencatkan pelan taktikal dan strategi OKS.
Harimau Muda bermula dengan baik apabila mendahului 2 gol pada separuh masa pertama melalui jaringan pemain tengah Perak, Md. Nasir Basharudin dan ayam tambatan berasal dari Sabah, Rozaimi Abd Rahman.
Walaupun Rozaimi meledak 2 gol dalam perlawanan ini, beliau dilihat agak perlahan atau tidak begitu tajam di depan gol. Ini mungkin disebabkan oleh kekurangan match fitness dan penulis yakin ianya akan berjaya diatasi jika Rozaimi kerap diturunkan OKS selepas ini.
Pasukan negara seharusnya menang dengan jumlah jaringan yang lebih besar namun peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan sebaiknya oleh Rozaimi, Sivanesan, Sarvindran dan pemain gantian Azrif Nasrulhaq.
Apa yang menariknya dalam perlawanan ini adalah debut antarabangsa pertama Nasir Basharudin di mana beliau dilihat tidak kekok menjana bahagian tengah Harimau Muda dengan cemerlang sekaligus akan memberi lebih banyak pilihan kepada OKS menjelang perlawanan akhir sabtu ini dan juga Sukan Sea nanti.
Begitu juga dengan kelibat pemain FC Ryukyu, Nazirul Naim yang diturunkan di posisi sayap kiri. Walaupun beliau lebih selesa bermain di bek kiri, namun percaturan bijak dari OKS ini berjaya memberi impak yang besar kepada persembahan keseluruhan pasukan.
Mungkin sesetengah peminat melabelkan kemenangan ini tidak begitu bermakna lebih-lebih lagi kerana Thailand hanya menghantar pasukan 'bidan terjun', namun mereka harus sedar bahawa pasukan Harimau Muda yang beraksi semalam juga bukanlah skuad utama.! Yang penting, setiap pemain sudah diberi peluang dan aksi cemerlang mereka harus diberi pujian sewajarnya.
Ini membuktikan strategi OKS dan Harimau Muda semasa berguru di Eropah dan Australia yang selalu memberi pendedahan dan pengalaman kepada semua pemain tidak kira pemain utama atau simpanan amat berkesan sekali.
Semoga rentak permainan cemerlang ini dapat dikekalkan sehingga ke perlawanan akhir nanti, In shaa Allah..!!!
"Tanah Tumpahnya Darahku"
No comments:
Post a Comment