nuffnang top

Saturday, 7 September 2013

Harimau Muda Raih 3 Mata Pertama


Skuad Harimau Muda negara memulakan Pestabola Merdeka edisi 2013 dengan langkah kanan apabila menewaskan pasukan bawah 23 tahun Singapura 1-0 petang semalam.

Jaringan tunggal penyerang Harimau Muda A, Thamil Arasu pada minit 46 hasil tandukan tipis ke belakang Junior Edstal sudah cukup untuk mengesahkan 3 mata penuh milik pasukan negara. Walaubagaimanapun, skuad kendalian OKS ini seharusnya menang dengan jumlah jaringan lebih besar jika tidak kerana ketumpulan penyudah dan juga kecekapan penjaga gol Singapura mengekang serangan bertali arus Harimau Muda.

Namun begitu, keadaan padang yang licin dan dipenuhi air bertakung sedikit sebanyak merencatkan corak permainan pantas Harimau Muda yang diketuai oleh Irfan Fazail. 

Pada perlawanan semalam, OKS mencuba kombinasi baru di bahagian tengah dengan meletakkan Irfan bergandingan bersama Junior dan S. Sivanesan. Kombinasi ini dilihat berjaya mengawal permainan dan melorongkan bola cantik kepada Sarvindran di sayap kiri dan Wan Zack di sayap kanan.

Wan Zack perlu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjaringkan sepakan penalti pada babak kedua. Begitu juga dengan Thamil Arasu yang mensia-siakan sekurang-kurangnya dua peluang terbaik untuk menambah jaringan.

Di barisan pertahanan, Fadhli Shas dan Nik Shahrul yang pertama kali digandingkan di bek tengah jarang menerima asakan berbahaya selain bijak menangani hantaran bola tinggi dari pihak lawan. 

Keseluruhannya Harimau Muda yang mendapat sokongan padu Ultras Malaya bermain dengan mantap cuma tidak bernasib baik untuk menundukkan pasukan jiran lebih dari satu jaringan. 

Persembahan cemerlang Junior yang pertama kali beraksi dalam pasukan Harimau Muda patut dipuji kerana beliau cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain. Sentuhan, hantaran dan kawalan bola menarik selain susuk fizikal yang besar banyak memberi masalah kepada pasukan Singapura.
Percubaan beliau pada separuh masa kedua hanya singgah di palang sekaligus menafikan jaringan pertama beliau di peringkat antarabangsa. Bagi penulis, beliau layak dipilih sebagai Man of The Match bagi perlawanan ini.

Cuma keadaan stadium yang agak lengang menjadi persoalan kenapa tidak ramai peminat yang hadir. Adakah disebabkan peminat bolasepak di sekitar Kuantan tidak mengetahui tentang Pestabola ini, atau adakah kerana hujan lebat sebelum perlawanan membatalkan hasrat peminat untuk ke stadium. Atau mungkin kejohanan ini tidak sesuai diadakan di luar lembah klang kerana jarak yang agak jauh. Atau mungkin juga kerana harga tiket yang mahal sedikit bagi sesetengah peminat menghalang niat mereka untuk memberi sokongan di stadium.

Harimau Muda akan menentang Myanmar dalam perlawanan kedua malam esok (Isnin) di mana kemenangan akan mengesahkan slot mereka di final Sabtu depan.

"Tanah Tumpahnya Darahku"


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...