![]() |
pic kredit to 'owner' |
Anak buah OKS sekali lagi membuktikan bahawa ini bukan waktu dan tempatnya untuk Myanmar menewaskan Malaysia terutamanya di tanah air sendiri.
Kemenangan kali kedua ke atas Myanmar dalam Pestabola terutamanya pada final sedikit sebanyak mengubat kedukaan anak buah OKS tahun lalu selepas tewas kepada lawan sama semasa kelayakan piala asia bawah 22 tahun.
Lebih manis kejayaan 2-0 pada sabtu adalah hasil jaringan penjaring terbanyak kejohanan, Rozaimi Abd Rahman dan sumbangan bermakna Junior Eldstal untuk gol pertama beliau di peringkat antarabangsa.
Kehadiran penonton yang memenuhi setiap ruang stadium darul makmur ternyata memberi semangat tambahan kepada Harimau Muda walaupun bermain di atas padang licin dan dalam keadaan hujan.
Buat pertama kali dalam kejohanan ini OKS menurunkan 2 orang penyerang dalam formasi 4-4-2 berbanding formasi kegemarannya iaitu 4-2-3-1. Ini bermakna Rozaimi mendapat kepercayaan OKS untuk berpasangan dengan Thamil Arasu sambil Wan Zack dan Syahrul Azwari menyerang dari sayap kanan dan kiri.
Teka-teki mengenai siapa yang akan bergandingan bersama kapten marvel, Irfan Fazail di posisi tengah terjawab apabila OKS menamakan Junior Eldstal dalam kesebelasan utama dengan meninggalkan Nazmi Faiz dan Nasir Basharuddin di bangku simpanan.
Fadhli Shas dan Nik Shahrul terus diberi tanggungjawab mengemudi bek tengah manakala Zubir Azmi dan K. Reuben masin-masing bertindak selaku bek kiri dan kanan.
Skuad muda negara sebenarnya harus berterima kasih kepada penjaga gol utama, Izham Tarmizi yang beberapa kali menyelamatkan percubaan berbahaya Myanmar sekaligus mengekalkan rekod bersih tidak dibolosi dalam 3 perlawanan.
Rozaimi membalas kepercayaan yang diberi OKS dengan menjaringkan gol pertama hasil tolakan mudah di depan gawang yang ternganga. Jaringan ini membuktikan naluri pemusnah Rozaimi yang berbisa setiap kali berada di depan gol lawan.
Kehampaan Junior Eldstal yang gagal menghasilkan gol dalam perlawanan awal akhirnya terubat dengan jaringan kedua negara. Jika bukan Wan Zack yang dianugerahkan pemain terbaik perlawanan, Junior berhak menerimanya kerana menunjukkan tahap permainan yang cemerlang dan sikap tidak putus asa sepanjang 90 minit di atas padang.
Keseluruhannya, permainan pantas dan corak hantaran pendek kedua-dua pasukan berjaya menghiburkan para penyokong. Walaupun pemain Harimau Muda A dan kelab/negeri digabungkan dalam waktu singkat, OKS berjaya membentuk keserasian dan keseimbangan di setiap posisi.
Tahniah kepada seluruh warga Harimau Muda....!!!
"Tanah Tumpahnya Darahku"