Pasukan bawah 22 tahun negara menjuarai Piala Bangabadhu setelah berjaya menundukkan Bangladesh dengan jaringan 3-2 malam tadi.
Anak-anak buah Razip Ismail mempamerkan semangat juang tinggi, tidak mudah mengaku kalah dan tidak gentar walaupun bermain di hadapan lebih kurang 25,000 penyokong lawan.
Faizat Ghazali menjadi wira pasukan negara apabila tandukannya pada minit-minit akhir permainan menerjah jaring hasil sepakan sudut Mohd Syazwan.
Sebelum itu skuad muda negara lebih awal mendahului Bangladesh hasil jaringan cantik sepakan percuma kapten, Nazirul Naim. Sepakan lencong kaki kiri beliau menerjah sudut atas kiri gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol.
Pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol kedua negara melalui jaringan Kumaahran yang tenang menyempurnakan peluang setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Syazwan. Ia adalah jaringan peribadi kedua penyerang berumur 18 tahun tersebut dalam kejohanan ini.
Harapan peminat negara untuk melihat lebih banyak gol pada babak kedua meleset apabila Bangladesh pula mendominasi permainan dan hasilnya mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh masa yang singkat.
Ternyata taktik jurulatih mereka yang menumpukan kepada set-piece membuahkan hasil setelah memperolehi gol pertama daripada lontaran jauh dari tepi padang. Gol kedua pula diperolehi melalui tandukan kencang dari hantaran sepakan sudut dari sebelah kiri gawang negara.
Tanpa kelibat sayap lincah Syahrul Azwari yang tidak diturunkan akibat kecederaan, barisan serangan negara sedikit tumpul terutamanya menghampiri penghujung permainan. Kemasukan seorang lagi pemain sayap, Ridzuan Abdunlah yang menggantikan Kumaahran juga gagal memberi impak seperti diharapkan.
Namun, barisan muda negara yang dalam fasa persediaan menghadapi Sukan Sea di Singapura jun nanti tidak mudah berputus asa dan akhirnya Faizat berjaya menjaringkan gol kemenangan bagi memusnahkan harapan ribuan penyokong tuan rumah.
Coach Razip Ismail seharusnya bangga dengan persembahan anak-anak buahnya dalam kejohanan ini kerana mereka telah mempamerkan permainan yang berkualiti dan bermutu tinggi. Kejohanan ini amat penting kepada skuad muda negara sebagai medan menimba pengalaman apatah lagi bermain di hadapan ribuan penyokong.
Sudah tentu coach OKS juga gembira kerana sebahagian besar pemain-pemain ini akan dibawa beliau ke Singapura nanti dalam misi meraih pingat emas seperti yang ditetapkan FAM baru-baru ini.
"Tanah Tumpahnya Darahku"
No comments:
Post a Comment