nuffnang top

Friday, 6 December 2013

Sukan SEA - Preview Skuad Harimau Muda


Posisi penjaga gol dilihat agak longgar jika hendak dibandingkan dengan kehadiran Khairul Fahmi @ Apek di Jakarta pada 2011. Namun, anak jati kelahiran Johor, Izham Tarmizi pastinya mahu membuktikan sesuatu kepada barisan jurulatih, pegawai dan peminat tanahair bahawa beliau mampu menggalas tugas sebagai penjaga gawang nombor satu bak kata pujangga 'patah tumbuh hilang berganti'.

Pengalaman Fadhli Shas yang telah bermain dengan pasukan senior negara diharapkan dapat memimpin rakan-rakan di benteng pertahanan supaya lebih ampuh dan kental menahan asakan lawan. Mungkin kehilangan Nik Shahrul dan Amer Saidin tidak akan dirasai sekiranya Shahrul Saad dapat menunjukkan persembahan cemerlang di bek tengah nanti selain daripada Kenny Pallraj dan juga Wan Amirzafran yang disenaraikan walaupun kedua-dua pemain ini agak kurang pengalaman peringkat antarabangsa.
Melengkapkan posisi pertahanan adalah Zubir Azmi dan Nazirul Naim di bek kiri manakala Azrif Nasrulhaq bersaing bersama K. Reuben di bek kanan.

Kelibat tubuh cilik Nazmi Faiz yang akan bermain pada sukan sea kedua pastinya ditagih di barisan tengah untuk bergandingan dengan Irfan meskipun beliau baru berusia 19 tahun. Mereka akan dibantu oleh S. Sivanesan dan Nasir Basharudin yang diharapkan mampu menampung kekosongan ditinggalkan Gary dan Junior. Skuad kali ini jelas akan bermain tanpa pemain sayap utama (Zack, Kecik, Azwari) dan posisi ini akan menjadi tanggungjawab pemain serba-boleh, D. Saarvindran bersama-sama pemain kelahiran Sarawak yang baru pulih dari kecederaan iaitu Ashri Chuchu. Sekali imbas, kelemahan utama adalah di posisi sayap kiri dan kanan namun penulis pasti OKS pasti mempunyai strategi tersendiri bagi menutup kekurangan ini.

Satu-satunya posisi yang boleh dikatakan terkuat pada kali ini ialah di jentera serangan dengan kehadiran Thamil Arasu, Rozaimi dan juga Hazwan Bakri. Ketiga-tiganya boleh dikatakan 'penyerang tulen' kerana bijak menghidu peluang dan menjaringkan gol di depan gawang pihak lawan. Penulis amat tertarik dengan tindakan OKS untuk membawa penyerang tinggi lampai ke Myanmar iaitu Izzaq Faris walaupun seperti diketahui beliau lebih banyak menghabiskan masa di meja rawatan dan gimnasium setelah berehat lama kerana masalah kecederaan. Mungkin Izzaq adalah senjata rahsia OKS disebabkan pengalaman beliau bermain dalam sukan sea 2011 termasuk ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Thailand di peringkat kumpulan.
Kebijaksanaan OKS untuk menggandingkan barisan penyerangnya dilihat memberi impak besar kepada skuad negara bagi mengutip 3 mata penuh dalam setiap perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...