Pasukan underdog Sime Darby FC mengejutkan pasukan pilihan ATM dengan kemenangan 2-1 di Stdm Selayang malam tadi manakala T-Team hampir dimalukan oleh UiTM FC apabila hanya mampu menang 3-2 walaupun selesa mendahului 3-0 pada separuh masa pertama. Walaupun hanya dibarisi oleh mahasiswa, UiTM FC yang bermain di laman sendiri tetap bersemangat untuk memberi tentangan sengit kepada T-Team yang dikemudi oleh Azrai Khor Abdullah.
Jaguh pantai timur, Terengganu mudah menumpaskan kelab Shahzan Muda dari Pahang dengan jaringan 4-0 sambil pasukan PKNS FC menundukkan JDT II dengan keputusan 3-2 dalam satu perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan.
Di stadium Hang Jebat, pasukan tuan rumah yang bermain di Liga FAM iaitu Melaka United @ 'MU' menerima nasib kurang baik apabila tunduk kepada pasukan liga perdana Perlis dengan jaringan 1-2. Dengan sokongan hampir 10,000 penyokong, 'MU' tetap gagal mempamerkan aksi terbaik mereka.
Sementara itu, pasukan Tok Gajah yang baru merangkul piala Sumbangsih terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya melayakkan diri ke pusingan kedua apabila hanya menang hasil penentuan sepakan penalti 5-4 ke atas Perak di Ipoh. Perak yang menurunkan sebahagian pemain dari skuad presiden mereka mempamerkan aksi bertenaga dan mengagumkan di hadapan penyokong sendiri hampir mencemaskan anak buah Ronald Smith apabila mengikat keputusan 2-2 sepanjang 120 minit perlawanan. Mungkin masih dibuai kejayaan sabtu lepas, skuad tok gajah dilihat kurang menyengat terutamanya di jentera tengah apabila seringkali gerakan mereka mudah dipatahkan oleh pemain muda Perak. Namun, pemain pertahanan Tok Gajah iaitu Saifulnizam Miswan @ Poyeng menjadi wira apabila menyempurnakan sepakan penalti terakhir bagi menempah slot ke pusingan kedua bertemu Lions XII.
Lain-lain pasukan pilihan terutamanya dari Liga Super seperti Sarawak dan Lions XII berjaya layak ke pusingan kedua. Begitu juga dengan Felda United, Kedah, Sabah dan PBAPP tiada masalah menewaskan lawan masing-masing.
Perlawanan pusingan kedua akan berlangsung pada 4 Februari depan.
"Ayuh sama-sama ke stadium menyokong pasukan kesayangan kita"